17 DIS : Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada mesyuarat keenam hari ini mengesyorkan tiga perkara berhubung sektor kesihatan, ekonomi dan juga tenaga buruh warga asing di negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, dalam syor pertama, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan virus COVID-19.
“Majlis juga berpendapat perlunya langkah yang proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Perkara ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negara.
“Bagi syor kedua, setelah meneliti cadangan-cadangan Jawatankuasa Tindakan Khas PKS ini dan secara dasarnya, majlis bersetuju supaya ia disusuli lebih lanjut, malah berpandangan bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.
“Mengenai syor ketiga pula, isu kekurangan tenaga kerja sering dibangkitkan, maka majlis mengesyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan untuk sektor-sektor ekonomi, selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang sudah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti pra-pandemik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kata Muhyddin, tiga syor itu dibuat selepas meneliti tiga pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dan Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah, berkaitan suntikan dos penggalak, bantuan kepada sektor PKS serta isu kekurangan tenaga kerja.
Mengulas lanjut tentang syor ketiga, kata Muhyiddin, pelaksanaan pengambilan tenaga kerja itu juga perlu disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan.
“Namun, majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam jangka masa panjang,” katanya.
Kata beliau, selaras dengan pembukaan semula ekonomi negara seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara, indikator-indikator utama ekonomi semakin menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan bagi suku tahun keempat 2021.
“Petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku tahun keempat 2021 turut bertambah baik dan majlis optimistik bahawa momentum pemulihan ini akan berterusan memasuki tahun 2022.
“Proses pemulihan negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2022 dilaksanakan dengan segera, terselaras, cekap dan berkesan.
“Majlis akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan meningkat daya tahan semua segmen sosio-ekonomi,” katanya.