17 DIS: Parti Warisan (WARISAN) sah melebarkan sayapnya ke seluruh negara bermula hari ini dan terbuka membentuk gabungan dengan mana-mana parti.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ketika ini parti itu hanya bergabung dengan parti MUDA.
“Setakat ini, kita dengan MUDA, bukan kata kita tutup pintu dengan parti lain, tidak. Kita akan maklumkan nanti.
“Setakat ini, kita juga tidak lantik ketua bahagian, belum lagi. Kita pun belum umumkan pengerusi negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran WARISAN Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, hari ini.
Turut sama hadir, Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Ditanya keupayaan WARISAN untuk melebarkan sayap ke semenanjung, sedangkan parti itu lebih dominan di Sabah, beliau yakin tanggapan itu boleh diatasi selepas ini.
“Saya pun pernah jadi Pengerusi Perhubungan (UMNO) di Kedah dulu dan waktu itu, kita mampu ambil alih pentadbiran dari PAS. (WARISAN) terbuka kepada pelbagai bangsa, ia dibuka kepada semua bangsa di Semenanjung.
“Dalam perlembagaan parti kita pun cukup jelas, ia didaftarkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) di Putrajaya. UMNO boleh bertanding di Sabah, kenapa WARISAN yang didaftar di Putrajaya juga tidak boleh bertanding di Semenanjung,” katanya.
Mohd Shafie menubuhkan WARISAN selepas keluar UMNO susulan pemecatannya daripada anggota Kabinet Datuk Seri Najib Razak pada 2015.