18 DIS: Pemilihan UMNO dahulu atau Pilihan Raya Umum (PRU) dahulu?
Itu antara isu utama dibincangkan dalam mesyuarat UMNO Bahagian yang berlangsung hari ini.
Perkara itu menjadi usul yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian yang akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.
Difahamkan, 123 daripada 191 UMNO Bahagian mengemukakan usul dan pendirian masing-masing untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal 2023.
Secara tidak langsung ini memberi gambaran sejumlah besar UMNO Bahagian bersedia menghadapi pemilihan UMNO sebelum PRU 15.
Namun, Ibu Pejabat UMNO yang akan meneliti berapa Bahagian yang mahukan pilihan raya awal dan berapa yang mahukan pemilihan awal.
“Semua usul-usul ini akan dikumpulkan, sebelum ia dibentangkan kepada lima pemimpin utama parti untuk kita pula akan membentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO, sebelum sebarang keputusan dibuat,” kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, pada Sabtu
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menaruh keyakinan Ismail Sabri yang juga naib presiden parti, akan membuat keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan ketetapan yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi kelak.
Namun, seperti diketahui, UMNO membuat ketetapan berdasarkan suara di peringkat akar umbi, termasuk ahli-ahli sayap Pemuda dan Puteri UMNO dalam menentukan sesuatu isu atau usul.
Sekiranya majoriti daripada mereka memilih Pemilihan UMNO dahulu, Majlis Tertinggi tiada pilihan selain akur, begitu juga jika pilihan supaya PRU 15 didahulukan.