18 DIS : Orang ramai dinasihatkan mencari jalan alternatif ekoran kejadian tebing runtuh di Jalan Jimah-Sendayan pagi ini menyebabkan jalan tersebut ditutup untuk laluan kenderaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor, berkata anggota APM dan bomba yang ke tempat banjir di Kampung Jimah jam 5.50 pagi mendapati terdapat tanah runtuh, akibat laluan air melimpah.
“Jalan berkenaan ditutup kepada pengguna. Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau kawasan kejadian,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, kejadian tanah runtuh berlaku ekoran daripada hujan lebat yang berlaku semalam.
“Jalan yang runtuh ialah jalan menghala dari Jimah ke Sendayan, di bawah pentadbiran Balai Lukut, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson.
“Bagaimanapun, polis dari IPD Seremban sudah digerakkan bagi memantau keadaan sementera menunggu anggota dari Balai Lukut,” katanya.
Sementara itu, Jalan Lubok China-Port Dickson dan Jalan Sawah Raja-Nerambai, terpaksa ditutup sementara ekoran dinaiki air naik kira-kira 0.4 meter.
Laluan Jalan Sawah Raja-Nerambai pula air mula naiki jam 7 pagi tadi dan sehingga jam 9.30 pagi tadi, kedua-dua laluan masih ditutup untuk semua kenderaa.
Antara faktor yang menyumbang kepada laluan dinaiki air ialah fenomena air pasang besar dan kedua-dua laluan berkenaan terpaksa ditutup sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana hujan masih turun.