18 DIS : Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan diambil tindakan syarikat dan majikan yang tidak mengikut piawaian ditetapkan serta didapati tidak menjaga kebajikan pekerja mereka sama ada warga tempatan atau asing bagi memastikan nama negara tidak tercalar di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, imej negara tercalar di peringkat antarabangsa bukan disebabkan kelemahan kerajaan, tetapi majikan yang menindas dan tidak membela nasib pekerja mereka.
“Sehubungan itu, kerajaan akan mengambil pendekatan dengan mendidik pekerja asing yang bekerja di negara ini untuk mengetahui hak mereka dan mengajar mereka aplikasi Working for Workers.
“Ini supaya apabila mereka tidak mendapat layanan sepatutnya, mereka boleh lapor terus kepada kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Satelit MYFutureJobs, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
UNITAR menjadi universiti swasta pertama menubuhkan pusat itu secara fizikal untuk membuka peluang dan memudahkan pelajar, alumni dan pencari kerja lain mencari kerjaya pilihan mereka.
“Walaupun negara sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), buat masa ini pekerja asing masih diperlukan.
“Cuma kebergantungan itu akan berkurangan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu hanya kurang daripada 15 peratus saja pekerja asing diperlukan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, program MYFutureJobs mampu membuat padanan pekerjaan yang lebih tepat berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan keperluan majikan.
“Program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula itu pasti akan jadi satu budaya, justeru kewujudan Pusat Satelit MyFutureJobs di UNITAR ini boleh menjadi titik permulaan baik.
“Menjelang IR4.0, negara akan berubah dan cabaran inilah yang perlu kita atasi pada masa hadapan, bukan setakat berdepan dengan COVID-19 saja,” tegasnya.
Setakat tahun 2020, MYFutureJobs merekodkan 47,901 majikan yang menawarkan 745,304 jawatan kosong kepada lebih 500,000 orang pencari kerja yang berdaftar di portal itu.
Sehingga 13 Disember lalu, sebanyak 450,083 peluang pekerjaan yang masih aktif ditawarkan kepada lebih 833,529 pencari kerja yang berdaftar di MYFutureJobs.