18 DIS : Sebanyak 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40 akan menerima pembayaran Fasa 3 Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sebanyak RM300 yang akan dibuat pada 20 Disember 2021 secara berperingkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BKC telah diselesaikan pada bulan September dan November yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk hampir 10 juta penerima.
“Dengan pembayaran ini, lengkaplah nilai bantuan di bawah BKC berjumlah RM4.6 bilion dan menzahirkan komitmen Kerajaan dalam memastikan pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan ini menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my. Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima BKC dan nilai bantuan yang diterima, warga Keluarga Malaysia juga boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.