19 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.
Beliau berkata, selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Lanchung, Putra Heights lewat malam tadi, beliau sangat risau dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini.
“Sejak malam tadi dan sehinggalah pagi ini saya tidak henti-henti meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor dan menziarahi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Serta-merta, saya telah arahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.
“Pagi ini, saya sendiri turun padang meninjau PPS SK Johan Setia, PPS SK Telok Gong dan Masjid Al Islah Kampung Nelayan Telok Gong, Klang bagi memastikan keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di pusat pemindahan sementara,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri, serta agensi terlibat sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian.
“Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat,” katanya.