19 DIS: Jentera parti MCA termasuk pasukan Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) telah dikerahkan untuk segera turun padang membantu mangsa-mangsa banjir.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau turut melahirkan keprihatinan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
“Dalam masa sama, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melakukan perkara sama sebelum ini, dan beliau atas kapasiti Pengerusi BN (Barisan Nasional) juga mengarahkan Setiausaha Agung BN untuk mengetuai pasukan dalam misi bantuan mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Beliau berkata kenyataan itu dibuatnya dalam Ucapan Dasarnya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur pagi tadi.
Perhimpunan itu dijalankan secara fizikal dan maya, mengikut prosedur operasi standar (SOP) yang ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dalam Ucapan Dasar itu beliau telah menyentuh beberapa perkara antaranya mengenai semangat setiakawan dalam BN, kebangkitan MCA, ekonomi, Keluarga Malaysia, UNDI18 dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Hadir sama, Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran; Setiausaha Agung PBRS, Richard Kastum dan Setiausaha Agung BN, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir serta Presiden-Presiden Friends of BN.