19 DIS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan bencana banjir terburuk di negeri itu.
Bagaimanapun, Baginda terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.
“Baginda dimaklumkan banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air, serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.
“Baginda menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan turut risau dan bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata,” menurut kenyataan Royal Selangor Office hari ini.
Musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutama Selangor yang disifatkan luar jangka membabitkan sebahagian besar daerah di negeri itu susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Justeru, Baginda dengan tegas mahu pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas.
Selain itu, Baginda turut mengarahkan agar Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.
“Baginda juga menyeru agar pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemaskini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti ini supaya respons pantas dapat diambil serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
“Baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu lagi.