19 DIS: Sekurang-kurangnya 75 mangsa dilaporkan terbunuh manakala 300,000 lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan Taufan Rai yang melanda Filipina.
Ketika ini, usaha sedang ditingkatkan pihak penyelamat untuk menghantar bekalan makanan dan air ke kawasan terjejas.
Gabenor Bohol, Arthur Yap, menerusi laman Facebooknya, mengesahkan berlaku 49 kematian di kawasan mereka daripada 75 keseluruhan korban yang dilaporkan.
Menurut Yap, lebih 10 orang dilaporkan masih hilang manakala 13 lagi cedera akibat ribut selepas ia mula membadai Filipina sejak Khamis lalu dengan kelajuan angin sehingga 195 kilometer sejam.
“Komunikasi masih terputus…hanya 21 datuk bandar daripada 48 yang berjaya menghubungi kita,” katanya.
Taufan Rai mula membadai Filipina di Pulau Siargao iaitu di selatan negara itu sejak tiga hari lalu.
Ia turut melanda wilayah tengah kepulauan itu menyebabkan komunikasi dan elektrik terputus di banyak kawasan, merosakkan bumbung dan menumbangkan tiang elektrik konkrit.