20 DIS : Kerja-kerja menebuk benteng di Taman Sri Muda, Shah Alam dijangka akan bermula esok bagi mengalirkan air ke Sungai Klang mempercepat air kering
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, sebanyak 21 pam air dari Perak dan Pahang disediakan bagi membantu kerja terbabit.
Menurutnya, penebukan perlu dilaksanakan segera kerana air banjir bergenang dan sekiranya dibiarkan, akan kekal sehingga dua minggu.
“Kerja ini akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan proses ini inisiatif terbaik bagi mengeringkan air di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media malam ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Pengarah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Susulan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang berlangsung hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan itu bagi mengalirkan air tergenang ke sungai.
Abdul Lafif berkata, tempat penebukan benteng belum dimuktamadkan dan akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Katanya, kira-kira 4,000 kediaman di Taman Sri Muda dan kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap kerana enggan berpindah disebabkan bimbang jangkitan COVID-19.