20 DIS: Pihak berkuasa berjaya mengeluarkan lebih ramai mangsa banjir di kawasan Seri Muda dan Seksyen 25 di Shah Alam setakat jam 10.20 pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata mangsa banjir terbabit berjaya dipindahkan dengan bantuan anggota dan aset agensi keselamatan.
“Kawasan Sri Muda dan Seksyen 25 Shah Alam lebih ramai dapat dikeluarkan dengan bantuan aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Bomba.
“Lebih 30 bot membantu untuk keluarkan mangsa dan air mulai surut pada kedalaman antara satu hingga dua meter namun ramai juga tidak mahu pindah.
“Tumpuan utama waktu ini adalah bekalan makanan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.
Beliau berkata, sebanyak 90 peratus mangsa banjir di seluruh kawasan yang dilanda bencana banjir di Selangor berjaya diselamat dan dipindahkan semalam.
Menteri Besar yang turut padang malam tadi menyifatkan proses pemindahan penting berikutan penduduk di negeri itu kekurangan kelengkapan selain faktor keselamatan.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam Facebooknya sebenar tadi menyatakan tugasan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap termasuk di kediaman menjadi keutamaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan operasi banjir di Taman Sri Muda.
“Operasi ini diteruskan tanpa henti sehinggalah sekarang,” katanya.