20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata sumbangan itu membabitkan peruntukan zakat sebanyak RM1 juta.
“Ketika ini LZS sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terbabit.
“Bagi asnaf LZS sedia ada, esok kita akan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada mereka untuk bertanya adakah mereka terbabit dengan banjir dan kita akan meminta sedikit bukti seperti laporan polis serta gambar sebelum sumbangan disalurkan ke akaun bank mereka.
“Untuk keluarga yang bukan asnaf, kita akan menunggu maklumat daripada Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum bantuan disalurkan kepada mereka yang terjejas,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata, LZS juga memberikan RM10,000 kepada setiap Ketua Operasi Agihan Daerah untuk digunakan sebagai bantuan kecemasan bagi mangsa banjir menerusi Tabung Kecemasan Banjir LZS yang membabitkan peruntukan RM90,000 dan ia akan ditambah sekiranya ada keperluan.
Katanya, sejumlah RM250,000 pula diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang menempatkan mangsa banjir.
“LZS juga katanya, menyediakan 5,000 pek makanan bermasak setiap hari bermula semalam yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari.
“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.
“Peruntukan maksimum bagi setiap rumah adalah RM31,500 dan akan diberikan mengikut keperluan serta tahap kerosakan yang terjadi.
“Dalam pada itu, LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan sewaktu banjir,” katanya.