20 DIS: Sidang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas yang telah berlangsung selama 33 hari mulai 25 Oktober lalu berakhir hari ini.
Persidangan kali ini diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan kes wabak COVID-19 yang masih berlarutan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan persidangan tersebut berjalan lancar.
Katanya, ini termasuklah mewajibkan ujian RTK Ag Saliva secara berkala dan menggalakkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada semua Ahli Yang Berhormat.
“Saya sebagai Tuan Yang di-Pertua dan Timbalan saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan Parlimen Malaysia sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat daripada penularan wabak COVID-19.
“Tidak saya lupakan juga ucapan terima kasih kepada semua pegawai Kerajaan, warga Parlimen Malaysia khususnya Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian urusan Majlis Mesyuarat sepanjang tempoh Dewan kali ini bersidang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menceriakan suasana Dewan Rakyat dengan melantunkan sebuah pantun yang berbunyi seperti di bawah.
Batu Kawan berwarna-warni,
Jelutong Pula tidak habis berdiri,
Setiap hari kita di sini,
Amanah rakyat kita penuhi.
Port Dickson bangkitkan isu Pandora,
Katanya saya jadi peguam bela,
Suasana politik memang bergelora.
Namun nasib rakyat mestikan kita bela.
YAB Bera seorang yang tenang,
Rembau pula orangnya tampan,
YDP kadang-kadang memanglah naik berang,
Namun apa-apa pun di hati tidak pernah disimpan.
Disebabkan Sepang lidah bertikaman,
Shah Alam mencelah menambah riuh,
Janganlah kita berdendam-dendaman,
Ambillah yang jernih buang yang keruh.
Semberong menjawab dengan senyuman,
Gombak berucap perlahan-lahan,
Kita akhiri dengan salam-salaman,
Sehubungan itu, persidangan kali ini pada hari ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.