21 DIS : Pemilik kenderaan yang kehilangan dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) ketika banjir akan dikecualikan daripada dikenakan bayaran penggantian.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, kementeriannya telah bersetuju untuk mengecualikan bayaran tersebut kepada mereka yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
Katanya lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga tidak mengenakan had waktu urusan penggantian berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini selain mangsa perlu menguruskan kehidupan selepas banjir.
“Bagi mendapatkan pengecualian itu, mangsa perlu membuat laporan polis terlebih mengenai dokumen yang hilang atau musnah sebelum berurusan di kaunter JPJ.
“Tidak perlu tergesa-gesa. Saya minta JPJ membantu mereka terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter bergerak JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics & Transport (KiLAT) yang julung kali diadakan, hari ini.
Kata Ka Siong lagi, pihaknya juga terbuka menerima cadangan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir termasuk urusan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Agensi Kementerian Pengangkutan turut membantu meringankan beban terpaksa ditanggung mangsa banjir di lapan negeri terbabit.
“Ini termasuk bantuan makanan dan keperluan asas, membuka fasiliti milik agensi terbabit seperti Masjid Sultan Abdul Samad KLIA dan Wisma Pelaut serta stesen LRT sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa banjir,” ujarnya.