21 DIS : Sebanyak 71 kes lagi COVID-19 varian Omicron telah dikesan di Singapura di mana melibatkan 65 kes import dan enam kes tempatan.
Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan turut mengesahkan tiga kes COVID-19 yang dikesan dikaitkan dengan gimnasium, dengan dua kes diuji positif varian Omicron, manakala selebihnya belum mendapat keputusan ujian.
Difahamkan, tiga kes COVID-19 varian Omicron itu disyaki dikesan di cawangan gimnasium Anytime Fitness di Pusat Beli-Belah Bukit Timah.
Kementerian Kesihatan negara itu juga sedang melakukan pengesanan kontak berhubung jangkitan kes varian Omicron.
Katanya, ketiga-tiga kes itu, membabitkan mereka yang berumur antara 18 dan 24 tahun dan tidak mempunyai sejarah perjalanan dalam masa terdekat.
Kementerian itu juga mengesahkan siasatan epidemiologi mendapati mereka baru-baru ini mengunjungi gimnasium itu antara 15 dan 17 Disember lalu.
Kakitangan dan pelawat pusat kecergasan itu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes itu akan dikuarantin.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pengunjung lain ke gimnasium berkenaan antara 15 dan 17 Disember lalu akan diberikan Amaran Risiko Kesihatan (HRW).
Kementerian itu menasihatkan semua pelawat ke premis terbabit supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti, dan meminimumkan interaksi sosial selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka.
Sehingga semalam, jumlah kes COVID-19 Singapura berjumlah 276,105 dengan 815 kematian.