21 DIS : Situasi banjir di lapan buah negeri, termasuk Selangor kini semakin pulih dan usaha-usaha pemulihan serta bantuan sedang giat dilaksanakan oleh agensi kerajaan.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengucapkan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu mangsa-mangsa banjir bersama dengan agensi kerajaan.
“Terima kasih semua yang terlibat, khususnya NGO yang membantu gerak kerja frontliner kerajaan di peringkat daerah dan negeri.
“Untuk makluman, Kerajaan tidak pernah melarang mana-mana NGO yang datang membantu bahkan kami berterima kasih kepada mana-mana NGO yang ingin datang membantu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Taman Sri Muda, Shah Alam petang tadi. Turut hadir bersama ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Katanya lagi, banjir yang melanda ini merupakan sesuatu yang berlaku diluar jangkaan, justeru ia tidak patut dipolitikkan.
“Sebab itu saya amat berterima kasih, khususnya pada hari ini, iaitu sejak dua pagi semalam sehingga sekarang, beberapa tim yang diketuai oleh Kementerian Alam Sekitar terus menjalankan kerja-kerja menyedut air.
“Alhamdulillah, saya jangka dalam sedikit masa lagi proses menyedut air beberapa kawasan banjir seperti di Shah Alam dan Klang akan selesai.
“Justeru, sepertimana yang dikatakan Perdana Menteri, mana-mana negeri yang masih ada air bertakung, boleh memaklumkan pada NADMA agar usaha menyedut air di kawasan berkenaan boleh dilakukan,” ujarnya.