22 DIS : Jenazah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah di Taman Mount Austin Johor Bahru kira-kira pukul 4 petang tadi.
Turut mengiringi jenazah Allahyarham ialah ahli keluarga, rakan politik dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Jenazah Allahyarham tiba pada pukul 3.20 petang di tanah perkuburan selepas disolatkan di Masjid Jamek Ar Raudhah di Kampung Datuk Onn, Larkin. Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa ke kediaman di Jalan Sentosa, Larkin, bagi membolehkan keluarga memberikan penghormatan terakhir.
Osman, 70, disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, jam 11.45 malam.
Pada 13 Oktober lalu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas dan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok.
Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018.