22 DIS : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memastikan supaya peruntukan sebanyak RM10.53 bilion dalam bajet 2022 akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menggerakkan usaha pemulihan negara ke arah luar bandar sejahtera agar kehidupan rakyat kembali makmur dalam norma baharu.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, dalam mempercepatkan penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan, KPLB akan berunding dengan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.
“Ia adalah berdasarkan keperluan kerana ada projek tertentu yang memerlukan komitmen serta kerjasama di peringkat kerajaan negeri.
“Justeru itu, usaha menjayakan RMKe-12 juga merupakan tindakan secara kolektif dan strategik antara semua peringkat serta pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ketika berucap dalam Majlis Anugerah Ilham Desa Tahun 2020 KPLB di Dewan Gemilang, Institut Kemajuan Desa (INFRA) hari ni.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri II KPLB, Hasbi bin Haji Habibollah dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Noraina binti Masduki
Anugerah Ilham Desa (AID) ini, ia telah dimulakan pada tahun 2000 yang ketika itu dikenali sebagai Pertandingan Idea Bernas sebelum ditukar kepada Anugerah Ilham Desa (AID) pada tahun 2009.
Sejak program ini dimulakan pada tahun 2000, sebanyak 243 kampung / projek telah menyertai di peringkat zon dan daripada jumlah tersebut sebanyak 56 buah kampung berserta projek telah dipilih menyertai AID ke peringkat kebangsaan.
Sementara itu, ketika menyentuh tentang peruntukan bagi pembangunan luar bandar, Abdul Rahman berkata,, dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM2.43 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar, KPLB akan dapat menambah baik bekalan elektrik, bekalan air luar bandar, jalan raya dan jalan perhubungan desa, di mana jumlah tersebut lebih tinggi daripada peruntukan pada tahun sebelumnya.
“Manakala untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, sebanyak RM15.3 juta telah diperuntukkan bagi aktiviti keusahawanan luar bandar. Jumlah ini membabitkan peningkatan sebanyak RM4.3 juta atau 39 peratus berbanding peruntukan tahun 2021.
“Seterusnya, bagi mempertingkatkan taraf kesejahteraan penduduk luar bandar, sebanyak RM384.1 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Ini merupakan satu peningkatan sebanyak RM9.1 juta atau 2.4 peratus daripada peruntukan tahun sebelumnya,” ujarnya.