22 DIS : UMNO Bahagian Beluran hari ini meluluskan usul menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus menerajui negara sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.
Menurut Ketuanya, Julie Sabran, perkara berkenaan antara yang diusulkan dan kemudian disokong pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, baru-baru ini.
Katanya lagi, UMNO bahagian itu juga memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.
Selain usul mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, turut diluluskan ialah usul kerusi Parlimen Beluran kekal ditandingi UMNO pada PRU-15.
Kerusi berkenaan disandang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang dimenanginya pada PRU-14 ketika mewakili UMNO sebelum menyertai BERSATU pada Mac 2019.
“Kita mahu kerusi Parlimen Beluran kekal ditandingi UMNO kerana ia kerusi tradisi parti. Kita akan kekalkan, insya-Allah kita akan bertanding pada PRU-15 dan saya yakin serta percaya kerusi ini adalah ‘fix deposit’ kepada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengesahkan jumlah keahlian UMNO Beluran melebihi 19,000 orang setakat ini, beliau berkata, daerah Beluran memerlukan perubahan kepemimpinan dan transformasi pembangunan.
“Daerah Beluran antara termundur dan termiskin, penduduknya masih dalam keadaan terpinggir. Berdasarkan tinjauan, masyarakat Beluran sangat-sangat mahukan perubahan dan pembangunan.
“Jadi saya yakin dan percaya untuk kepemimpinan baharu yang akan datang, insya-Allah daripada UMNO, kita akan buat transformasi, terutama untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar di daerah Beluran,” katanya.