23 DIS : Daripada 342 menara telekomunikasi yang terjejas akibat banjir besar di Selangor, sebanyak 153 menara sudah beroperasi semula sejak semalam.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan hari ini, 183 lagi menara telekomunikasi dalam proses baik-pulih, dengan usaha sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi.
Jelasnya, kerja baik-pulih sedang giat dijalankan dan menara telekomunikasi yang terjejas dijangka akan kembali beroperasi, tidak lama lagi.
“Pemancar di kawasan yang terbabit akan diaktifkan semula secepat mungkin, sebaik sahaja bekalan elektrik diberikan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kata Annuar lagi, dalam menjalankan kerja baik pulih, SKMM dan syarikat telekomunikasi berdepan kekangan, termasuk tidak dapat mengakses ke lokasi menara dan bekalan elektrik diputuskan TNB, bagi tujuan keselamatan penduduk.
SKMM juga menurutnya sedang berbincang dengan persatuan radio amatur bagi mendapatkan bantuan perkhidmatan radio sebagai saluran perhubungan alternatif kawasan yang terkesan.
“Kini, beberapa sistem radio amatur sudah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk oleh bencana banjir.
“Penduduk diminta untuk bersabar sementara tindakan mitigasi giat dijalankan, bagi memastikan semua penduduk akan dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala,” katanya
.