23 DIS : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, hari ini mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat.
Menurut Abd Latiff, dalam lawatan tersebut beliau telah meminta agar pihak berkuasa menyediakan segala maklumat kerugian mangsa banjir kawasan itu bagi membolehkan bantuan kepada mereka yang terlibat disegerakan.
“Kita akan terus berusaha dalam proses pemulihan daripada kejadian bencana yang tidak disangka ini. Saya juga telah mendapat perkembangan di daerah ini melalui pegawai daerah Hulu Langat, Dr. Ani Binti Ahmad.
“Justeru, saya mengarahkan agar segera mendapatkan maklumat kerugian mangsa-mangsa banjir untuk urusan penilaian kerosakan bagi membolehkan bantuan RM100 juta dan wang ehsan RM1,000 yang diumumkan sebelum ini disalurkan secepat mungkin,” katanya menerusi satu hantaran terbaharu di Facebook rasminya.
Katanya lagi, buat mereka yang terkesan dengan bencana banjir, selain daripada talian Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 03- 8064 2400, orang ramai juga boleh menghubungi talian MyGCC 03-80008000 sebagai alternatif talian informasi bencana.