23 DIS : Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 37,761 orang meliputi penduduk di Bera, Maran, Mentakab dan Temerloh, Pahang sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelemat (JBPM), sebanyak 264 PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir di negeri tersebut.
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS mencatatkan trend penurunan di Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Seramai 1,559 mangsa dipindahkan ke lapan PPS di Kelantan, manakala 254 mangsa berlindung di dua PPS dekat Perak; 22,279 mangsa di 108 PPS di Selangor; 312 mangsa di dua PPS di Kuala Lumpur; 343 mangsa di lima PPS di Negeri Sembilan dan 135 mangsa ditempatkan di tiga PPS di Melaka.
Selain itu, sebanyak 26 kes kematian direkodkan, masing-masing 10 di Pahang dan 16 di Selangor, manakala tujuh mangsa masih hilang.
Sementara itu, tujuh sungai di Pahang dilapor berada pada paras bahaya, manakala lima lagi di tahap waspada dan enam di paras amaran.
Notifikasi aras sungai di Selangor pula mencatatkan satu berada di tahap bahaya dan empat lagi di paras amaran.