24 DIS : Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membantu mangsa banjir membawa kepada penubuhan Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara untuk misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor yang paling teruk terjejas iaitu Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.
Kira-kira 100 pegawai dan staf Istana Negara terlibat dalam pasukan tersebut untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat di kawasan tersebut.
Menurut Pengarah Operasi Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara, Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, seramai 20 hingga 30 orang terdiri daripada warga Istana Negara akan dihantar di setiap lokasi.
“Idea ini adalah daripada Tuanku. Baginda menyatakan hasrat untuk membantu bukan hanya di negeri Selangor tapi akan bergerak ke negeri-negeri lain,” katanya ketika hari ini.
Terdahulu, pasukan bantuan tersebut melakukan kerja pembersihan pasca banjir di rumah penduduk yang terjejas di sebuah taman di Klang, dekat sini yang memerlukan bantuan berkenaan memandang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, bantuan berbentuk keperluan asas seperti pakaian, tuala, alat mandi, kit kendiri ujian COVID-19 dan makanan kering turut diberikan kepada para penduduk yang terjejas banjir.
Pasukan Bencana Istana Negara itu juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka, tambahnya.