24 DIS : Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof David Perera, berkata, sebanyak empat kes B.1.1.1.529 atau varian Omicron dikesan di Sarawak, di mana dua daripada kes dilaporkan dari Bintulu membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun yang pulang dari Nigeria dan menjalani ujian swap pada 19 Disember.
Menurutnya, satu lagi kes membabitkan lelaki berusia 19 tahun yang pulang dari United Kingdom (UK) yang melakukan ujian swap pada 14 Disember.
“Dua lagi kes dikesan di Kuching. Satu kes membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang pulang dari UK. Beliau melakukan ujian swap pada 22 Disember, manakala kes lain ialah seorang wanita yang tidak mempunyai sejarah perjalanan, mungkin kes penularan tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga ahli Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak berkata, memandangkan kes varian Omicron kes tempatan dan mungkin mudah merebak dalam masyarakat, orang ramai digesa supaya berhati-hati semasa meraikan sambutan Krismas, cuti Tahun Baharu dan hujung tahun.
Sehubungan itu, Dr David Parera menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan suntikan dos penggalak, jika mereka belum berbuat demikian kerana kajian menunjukkan suntikan dos itu perlu untuk meningkatkan tahap antibodi secara neutral, bagi melindungi diri daripada jangkitan Omicron.
“SOP (prosedur operasi standard) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan jika boleh elakkan berhimpun bagi mencegah penularan lebih teruk,” katanya.
Pada 18 Disember lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, dua kes COVID-19 varian Omicron direkodkan di Sarawak pada 17 Disember, masing-masing membabitkan pengembara dari UK dan Amerika Syarikat.