24 DIS : Angka korban banjir di Selangor, Pahang dan Kelantan, kini mencecah 41 orang melibatkan dua kanak-kanak lelaki, 26 lelaki dewasa dan 13 wanita dewasa setakat jam 8 pagi tadi.
Manakala, jumlah yang hilang pula mencatatkan seramai lapan orang, iaitu tujuh lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, semuanya di Pahang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acry Sani Abdullah Sani, berkata dalam satu kenyataan hari ini, daripada 41 kes dilaporkan, 25 kematian dilaporkan di Selangor, 15 kematian di Pahang dan satu lagi kematian di Kelantan.
“Daripada 25 jumlah kematian direkodkan di Selangor, 17 kes membabitkan lelaki dewasa, manakala lapan lagi kes terdiri daripada wanita dewasa.
“Di Pahang, lapan kes membabitkan lelaki dewasa, lima lagi kes membabitkan wanita dewasa, manakala dua kes kematian lagi, kanak-kanak lelaki.
“Kematian dilaporkan di Kelantan pula membabitkan seorang lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.