24 DIS : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung tarikh tutup Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada mangsa banjir.
Menurut NADMA dalam satu kenyataan hari ini, BWI tidak mempunya tarikh tutup memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan.
“Merujuk kepada kenyataan Hannah Yeoh yang mendakwa FAQ NADMA berkaitan BWI adalah bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri, pihak agensi ingin memaklumkan bahawa FAQ yang dirujuk adalah garis panduan lama.
“Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua Kerajaan Negeri.
“Justeru, dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar.
“NADMA menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana tidak ada tarikh tutup bagi BWI memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, sebelum ini, kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana telah diisytiharkan , namun atas keprihatinan Perdana Menteri, kini semua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa.
“Untuk makluman, sehingga hari ini sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan ke 11 buah negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan di mana tambahan akan diberikan mengikut keperluan,” jelasnya.