25 DIS : Sebanyak 68 laluan di negeri-negeri terjejas banjir melibatkan 46 jalan di Pahang, 14 di Selangor, lima di Negeri Sembilan dan tiga di Kelantan masih ditutup hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, jalan di negeri Pahang adalah yang paling banyak ditutup berbanding negeri-negeri lain yang terjejas banjir.
Sementara itu, Acryl memaklumkan paras sungai yang kini berada di paras berwaspada pula ialah dua sungai di Pahang pada tahap waspada, empat tahap amaran dan tiga lagi kategori bahaya, manakala di Selangor pula, dua sungai pada tahap waspada dan satu tahap amaran.
Di Sarawak dan Johor, tiga sungai sungai pada tahap waspada, disusuli dua di Kelantan serta masing-masing satu di Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Sebanyak 334 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka menempatkan 54,532 mangsa banjir di tujuh negeri, setakat jam 4 pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, di sini, hari ini.
Memperincikan jumlah berkenaan, beliau memaklumkan, penduduk yang masih berada di PPS membabitkan 29,108 di Pahang, Selangor (23,302), Kelantan (974), Kuala Lumpur (238), Negeri Sembilan (292), Perak (105) dan Melaka (38).
Sementara itu, katanya, kerja-kerja pembersihan kawasan dilanda banjir giat dilaksanakan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan.
“Usaha itu berjalan mengikut jadual ditetapkan. Polis turut menerima sumbangan seperti lori jengkaut bagi mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir,” katanya.