25 DIS : Keadaan banjir terus beransur pulih di beberapa negeri pada sebelah petang ini dengan jumlah mangsa semakin berkurangan dan terdapat pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup.
InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang tadi memaklumkan sebanyak 40,738 mangsa banjir daripada 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 mangsa tengah hari tadi.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 17,336 orang yang ditempatkan di 90 PPS tengah hari tadi, kepada 16,953 mangsa daripada 4,752 keluarga melibatkan 88 PPS petang ini.
Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan lapan jalan di lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan setakat pukul 4 petang tadi,
Antara jalan ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.
Selain itu, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya), manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser (IPD Hulu Selangor) menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.
Manakala di Pahang, banjir semakin baik hari ini apabila dua PPS terakhir di Lipis ditutup petang ini, selepas daerah Raub dan Jerantut disahkan ‘pulih’ daripada banjir, tengah hari tadi.
Daerah yang masih terjejas banjir di Pahang kini ialah Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Kuantan dan Pekan, dengan seramai 22,449 mangsa masih berada di 156 PPS, demikian menurut aplikasi InfoBencana JKM.
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, kedua-duanya di Maran serta Sungai Bera di Bera, namun menunjukkan trend menurun.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan pula mencatatkan penurunan setakat 6 petang ini, apabila seramai 685 orang daripada 222 keluarga berbanding 814 orang daripada 258 keluarga tengah hari tadi, melibatkan lima PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.
Lima PPS itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.
Di Negeri Sembilan pula, setakat pukul 7 pagi ini menunjukkan seramai 292 mangsa daripada 84 keluarga masih berlindung di empat PPS di Jelebu, iaitu Dewan Dsury Klawang, SMK Triang Hilir, Dewan Orang Ramai Kampung Puom dan SK Dato Undang Abdullah.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah mangsa banjir di Melaka pula tinggal hanya 29 orang daripada sembilan keluarga setakat 4 petang tadi dan hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.
“Kesemua mangsa kini berada di PPS terbabit, manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.