25 DIS : Sebanyak 539 kawasan di Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir sudah menerima semula bekalan elektrik setakat pukul 11 pagi tadi.
Melalui laman Facebook rasmi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline memaklumkan, bekalan elektrik pulih di 396 kawasan di Pahang, 25 kawasan di Negeri Sembilan dan 118 kawasan di Kuala Lumpur, manakala di Selangor, bekalan elektrik di 167 kawasan telah dipulihkan setakat 12 tengah malam tadi.
“Jika banjir sudah surut di kawasan anda, tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” kata TNB hari ini.
Selain itu, 105 kawasan di Pahang dan dua kawasan, masing-masing di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta 127 kawasan di Selangor masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat.
Sementara itu, sebanyak 177 daripada 342 menara telekomunikasi terkesan akibat banjir yang melanda Selangor pada 18 Disember lalu sudah beroperasi sepenuhnya setakat jam 8 malam tadi, manakala 165 lagi masih dalam peringkat baik pulih.
Menara paling banyak terjejas adalah di daerah Klang dengan 53, Petaling (52) dan Sepang (28), membabitkan beberapa syarikat telekomunikasi.