26 DIS: Jangkitan COVID-19 di Perancis mencecah enam angka semalam dengan 104,611 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam sekali gus tiga hari berturut-turut merekodkan angka tinggi.
Berdasarkan kenyataan agensi kesihatan awam Perancis, mesyuarat akan diadakan esok menerusi sidang video oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan anggota kerajaan berkaitan bagi membincangkan langkah keselamatan COVID-19 baharu.
Ia susulan terdapat kebimbangan kesan daripada penularan pantas varian baharu COVID-19 Omicron.
Kelmarin, pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan golongan dewasa menerima suntikan penggalak selepas tiga bulan menerima vaksinasi awal.
Kerajaan bercadang untuk mengeluarkan pas kesihatan kepada penerima sah vaksinasi sekiranya mereka menerima suntikan penggalak.
Pas itu diperlukan untuk memasuki kafe, restoran dan kawasan awam lain termasuklah bagi tujuan perjalanan antarabangsa.
Beberapa wilayah di negara itu sudah pun menggubal langkah keselamatan masing-masing.
Sebagai contoh pada hujung bulan lalu, pegawai di Savoie memperkenalkan kembali kewajipan untuk memakai pelitup hidung dan mulut bukan saja di dalam kawasan awam tertutup, malah di luar sekalipun, sama seperti di Itali.
Angka terkini kes COVID-19 Perancis menunjukkan trend peningkatan dramatik sejak permulaan bulan ini, di mana pada 4 Disember lalu, kes COVID-19 pertama kali mencecah 50,000 kes sebelum meningkat secara berterusan.
Setakat ini, Perancis merekodkan 122,546 kematian akibat COVID-19 manakala jumlah yang sudah divaksin mencakupi 76.5 peratus penduduk negara itu.