27 DIS: Sebanyak 27 gempa bumi direkodkan di wilayah Aceh dan Sumatera Utara, Indonesia sepanjang minggu keempat bulan ini.
Pusat Gempa Bumi Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Medan menyatakan aktiviti gempa di Aceh dan Sumatera Utara itu berlaku di zon tujahan mega, dan sebilangannya berlaku di beberapa kawasan dalam segmen ‘Sumatran Fault’.
“Menjelang Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022, BMKG merekodkan 27 gempa bumi di Sumatera Utara dan Aceh antara 17 Disember hingga 23 Disember,” kata penyelidik BMKG, Marzuki Sinambela, semalam.
Menurut Marzuki, sejumlah 23 gempa bumi dengan magnitud kecil di bawah 4.0 direkodkan selama seminggu di Aceh dan Sumatera, manakala empat lagi berkekuatan antara 4.0 dan 5.0.
Katanya, 24 gempa bumi yang direkodkan sepanjang minggu itu adalah sedalam 60 kilometer, dan tiga gempa bumi lagi berada pada kedalaman antara 60 hingga 300 kilometer.
Seorang lagi penganalisis BMKG, Endah Puspita Sari, menjelaskan sebanyak 18 gempa bumi berlaku di darat sepanjang minggu berkenaan, manakala sembilan lagi tercetus di laut.
“Daripada 27 gempa yang direkodkan, tiga daripadanya adalah signifikan kerana gegarannya dirasai oleh penduduk, iaitu yang berlaku di Gunung Sitoli dan Nias Barat di Sumatera Utara serta Takengon di Aceh,” katanya. – AGENSI