27 DIS : Bantuan tambahan sebanyak RM35 juta disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi dana zakat kepada mangsa banjir melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 2.0.
MAIWP memaklumkan bantuan tambahan itu membabitkan RM10 juta untuk mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu, manakala RM3 juta lagi bagi bantuan perubatan klinik bergerak.
“Selain itu, sebanyak RM3.5 juta untuk membina semula rumah dan bantuan membaik pulih premis iaitu rumah (RM7 juta), masjid serta surau (RM1 juta) serta maahad tahfiz, sekolah rendah agama dan tadika (RM1 juta).
“Sebanyak RM1 juta turut disalurkan bagi bantuan peralatan sekolah dan institut pengajian tinggi, bantuan moratorium serta baik pulih kenderaan masing-masing RM3 juta, RM2 juta bantuan tunai sekali beri kepada mangsa banjir dan bantuan menyelenggara pendawaian elektrik RM500,000,” kata MAWIP menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, MAIWP menyalurkan peruntukan bantuan awal RM2.25 juta kepada mangsa banjir di Wilayah Persekutuan melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 1.0 pada 23 hingga 26 Disember lalu di beberapa pusat penempatan mangsa banjir di ibu negara.
Menerusi program itu, selain bantuan kewangan, barangan kelangsungan hidup seperti keperluan kebersihan diri, ubat-ubatan, keperluan mencuci rumah, peralatan elektrik dan keperluan asas lain turut diagihkan kepada mangsa.
MAIWP turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri yang tampil bersama MAIWP dalam membantu mangsa banjir di Wilayah Persekutuan.
MAIWP turut menyeru masyarakat menjadi mata atau telinga dengan membantu melaporkan kesusahan di sekeliling kepada agensi itu.