28 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 14 jangkitan COVID-19 yang melibatkan 434 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang tadi.
Selain itu, sebanyak 78 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), iaitu 53 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, turut direkodkan ialah 17 kes penyakit kulit, empat gejala acute gastroenteritis (AGE) serta masing-masing dua kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta konjunktivitis.
“Bagaimanapun, tiada kluster baharu dilaporkan pada hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS. Ini menjadikan setakat ini, hanya satu kluster dilaporkan di PPS, iaitu membabitkan 10 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kes COVID-19 kekal di bawah 3,000 kes apabila sebanyak 2,897 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah terkumpul jangkitan sebanyak 2,746,833 kes.
Beliau berkata, daripada jumlah kes harian dilaporkan itu, 50 daripadanya (atau 1.7 peratus) kategori tiga, empat dan lima, manakala 2,847 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 192 kes import yang membabitkan 178 warganegara dan14 bukan warganegara, sementara 2,705 lagi jangkitan tempatan. Sebanyak 3,434 kes sembuh sehingga tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 2,673,084 jangkitan,” katanya.
Katanya, seramai 302 pesakit memerlukan rawatan di unit rawatan rapi, 169 memerlukan bantuan pernafasan.
“Setakat ini terdapat pertambahan empat kluster baharu menjadikan jumlah kluster di negara ini sebanyak 6,114 kluster dengan 226 daripadanya masih aktif,” katanya.
Katanya, KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung.
Maklumat lebih lanjut dan kemas kini mengenai info bencana banjir, layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index