28 DIS : Sebanyak 831 kawasan yang terjejas banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sudah menerima semula bekalan elektrik setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Bekalan elektrik yang sudah dipulihkan itu meliputi 510 kawasan di Pahang, 178 kawasan di Selangor, 118 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook rasmi syarikat tersebut.
TNB juga memaklumkan, sekiranya ada kawasan yang sudah surut banjir namun masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis di kawasan yang terlibat belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,
TNB Careline turut memberitahu 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.
Selain itu, katanya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terbabit dapat disalurkan secara berperingkat, tertakluk kepada akses dan keadaan setempat.
TNB Careline juga menasihati pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga.