28 DIS : Mana-mana individu positif COVID-19 yang didapati melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000, demikian tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Katanya, tindakan tegas itu dikeluarkan ekoran pihaknya mengesan wujud pelanggaran HSO bagi tempoh 1 Disember lalu sehingga hari ini di mana kira-kira 1.8 peratus daripada jumlah individu positif Covid-19 dikesan melanggar perintah berkenaan sejak awal bulan ini.
“Kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang berkenaan. Kita terpaksa mengambil langkah tegas kerana mereka mendaftar masuk ke premis lain sedangkan sepatutnya mereka perlu berada di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam sidang akhbar petang tadi.
Dalam pada itu, Khairy juga menasihati orang ramai supaya menghidupkan fungsi bluetooh bagi membolehkan aplikasi MySejahtera membuat pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19.
“Ciri baharu dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace) boleh mengesan kontak rapat pada jarak tertentu dan bagi kontak kasual, mereka digalakkan melakukan ujian kendiri dan ini akan membendung penularan,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengesahkan turut menerima laporan mengenai majlis perkahwinan besar-besaran membabitkan pasangan selebriti dengan ramai tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).
Khairy berkata, pihaknya tidak menghalang majlis perkahwinan tetapi setiap orang perlu mengambil langkah sewajarnya membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Akibat pelanggaran SOP itu, mereka mungkin dikenakan kompaun maksimum RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.