28 DIS : Lelaki berketurunan Rohingya, Long Tiger yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu dipercayai sudah diberkas polis hari ini di Kuala Ketil Sungai Petani.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dipercayai ditahan dalam satu operasi khas untuk memburunya.
Dijangka Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok berhubung penangkapan lelaki tersebut.
Sebelum ini, pihak Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.
Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam
Terdahulu, dalam kejadian pada 15 Disember kira-kira pukul 11 pagi, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.
Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan
.