29 DIS : Susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir dijangka akan berlaku di empat buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula 31 Disember ini.
Sehubungan itu, JPS menerusi satu kenyataan hari ini meminta semua penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan yang dijangka banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
Kata kenyataan itu, banjir dijangka berlaku di Lembangan Sungai Kelantan, membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.
Selain itu, menurut kenyataan itu lagi banjir turut dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar berisiko banjir.
“Pada masa sama, banjir dijangka berlaku di Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Besut di daerah Besut dan Lembangan Sungai Terengganu membabitkan Terengganu dan kawasan sekitar berisiko banjir,” katanya.
JPS menjangkakan bermula 8 pagi Sabtu ini, banjir membabitkan Lembangan Sungai Pahang di daerah Maran, Temerloh dan Jerantut, selain di Lembangan Sungai Kuantan membabitkan daerah Kuantan (Sungai Lembing); Lembangan Sungai Rompin membabitkan daerah Rompin serta kawasan sekitar berisiko banjir.
Katanya, banjir turut dijangka berlaku Sabtu ini jam 8 malam di Lembangan Sungai Mersing membabitkan daerah Mersing serta kawasan sekitar berisiko banjir.
Menurut JPS, penduduk empat negeri itu diminta mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui sesawang publicinfobanjir.water.gov.my; Facebook, PublicInfoBanjir dan Twitter@JPS_Infobanjir.
Sebelum ini, MET Malaysia mengeluarkan amaran tahap Waspada (Kuning) iaitu hujan berterusan akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah, sepanjang minggu ini.
Dalam kemas kini menerusi Facebook, MET Malaysia berkata, hampir keseluruhan daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai akan mengalami cuaca berkenaan.