29 DIS : Laporan terperinci mengenai kajian pemansuhan pelaksanaan hukuman mati di negara ini akan dikemukakan untuk dibentang di mesyuarat kebinet dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan berkenaan akan dikemukakan jawatan kuasa khas yang dibentuk lebih dua tahun lalu.
Menurut Wan Junaidi, dapatan hasil respons masyarakat itu juga bakal diserahkan segera selepas jawatan kuasa yang ditubuhkan pada 2019 lalu itu, sudah pun meneliti keputusan pemansuhan hukuman dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Laporan kajian tersebut diharap dapat dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet dan keputusan terakhir ditetapkan selepas jemaah menteri berpuas hati dengan dapatan tersebut.
“Sekiranya berjalan lancar, rang undang-undang bagi penghapusan hukuman mati dan segala perundangan berkaitan akan dibawa ke Parlimen pada suku ketiga 2022 kelak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Junaidi lagi, kelewatan penyiapan laporan tersebut disebabkan mereka perlu menilai keberkesanan pemansuhan hukuman mati sebagai alat pencegahan jenayah.
Ketika ini, Malaysia masih lagi disenaraikan dalam kelompok 54 negara di dunia mengekalkan hukuman mati, manakala 107 negara lain sudah pun memansuhkan tindakan penalti berkenaan.
Ada 33 kesalahan boleh disabitkan hukuman mati di Malaysia, antaranya kes pembunuhan, pengedaran dadah, rogol maut, aktiviti pengganas dan derhaka ke atas Yang di-Pertuan Agong.