Kerjasama polis-media penting untuk perbetul fakta salah
29 DIS : Ketua Polis Daerah (KPD) di Johor dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan pihak media agar berita yang disampaikan kepada masyarakat awam adalah benar dan tepat.
Teguran itu diberikan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak ini penting khususnya bagi mematahkan berita tular yang tidak tepat dalam media sosial yang menyebabkan orang ramai terkeliru dan salah tanggap.
Menerusi kerjasama itu katanya, pihak media boleh berperanan membetulkan kembali fakta salah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial.
“Rakan media inilah yang akan memperbetul semula fakta salah dari pihak yang tidak bertanggungjawab. Kalau kita menjarakkan diri dengan media, kita akan ketinggalan.
“Kalau kita masih di kepompong lama apabila tidak berkongsi maklumat, media tidak akan dapat fakta yang betul dan apa yang ditularkan tidak dapat diperbetul.
“Sebagai contoh dalam kejadian banjir baru-baru ini, banyak fakta salah yang ditularkan. Jadi, berinteraksilah dengan media, uar-uarkan kejayaan kita.
“Zaman sekarang adalah zaman persepsi. Sekiranya fakta salah yang tular itu lambat untuk diperbetul, kita menghadapi kesukaran ledakan sosial media ini.
“Jadi, kalau media telefon, jawab. Maklumkan apa yang betul (fakta), komunikasilah dengan media,” katanya.
Beliau herkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya lagi, setiap KPD perlu memastikan hubungan bersama-sama media rasmi rapat dan perlu berkongsi fakta yang tepat terutama membabitkan isu yang ditularkan.
Tambah Ayob Khan, kerjasama yang positif memberikan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak dan mencapai matlamat masing-masing.
“Apa yang boleh dikongsikan, kongsi. Tidak rugi pun. Mereka (media) hanya jalankan kerja. Kita pun mahu memastikan masyarakat dapat fakta yang betul. Kalau kita menjauhkan diri, kita akan mengalami kesukaran.
“Yang sepatutnya kongsi dengan media kita tidak kongsi. Kita pula yang cakap dengan orang luar, kita kongsi pada orang yang tidak sepatutnya kita beri kerana sebenarnya apa yang dikongsikan media rasmi akan bantu masyarakat khususnya polis,” katanya.
Ketajaman penulisan itu menurut beliau mampu menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara atau membangunkan seseorang individu mahupun personaliti seseorang.