29 DIS : Malaysia dijangka akan terus berdepan dengan bencana alam luar biasa yang lebih kerap pada masa akan datang.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berdasarkan pandangan sekumpulan pakar bencana dan cuaca tempatan dalam sesi libat urus beliau bersama tujuh pakar penyelidik tersebut.
Penyelidik tempatan itu juga menurutnya, turut meramalkan bencana alam mungkin berlaku di kawasan yang langsung tidak dijangka.
Tambah Abd Latiff, negara berkemungkinan tidak akan menikmati suasana yang aman daripada bencana alam pada masa akan datang.
“Jika dahulu, bencana alam mungkin berlaku sekali sekala, namun kini ia lebih kerap dan turut melanda kawasan yang tidak difikirkan boleh berlaku bencana.
“Tiada siapa boleh bayangkan daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang paling kering itu pun boleh dilanda banjir luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan banjir, hari ini.
Katanya lagi, beliau telah menerima pelbagai cadangan, maklum balas dan penambahbaikan yang diperlukan daripada pakar dan penyelidik itu yang bakal dikemukakan kepada jemaah menteri kelak.