29 DIS: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat agar terus membantu mangsa banjir agar mereka dapat kembali membina kehidupan.
Katanya, masyarakat boleh membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekalipun yang termampu terutama selepas banjir berakhir.
“Kepada sukarelawan dan petugas barisan hadapan, teruskan kerja murni ini. Insya-Allah anda semua akan dilindungi dan diberkati Allah SWT,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Beliau turut memaklumkan dua kontena sumbangan Skuad Prihatin BERSATU akan dijadikan penempatan sementara bagi dua keluarga yang kehilangan kediaman mereka selepas ia dibawa arus banjir minggu lalu.
“Alhamdulillah sumbangan dua unit kontena yang saya umumkan semalam untuk dijadikan penempatan sementara bagi dua keluarga mangsa banjir di Kampung Jawa (Shah Alam) dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat sudah ditunaikan.
“Satu unit kontena sudah dihantar petang semalam dan satu lagi hari ini.
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terbabit yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu,” katanya.
Muhyiddin berkata, Skuad Prihatin BERSATU akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Tumpuan kini, katanya, diberikan kepada kerja membersihkan rumah mangsa banjir serta penyaluran bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan bayi dan kanak-kanak.