29 DIS: Sukarelawan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turun padang membantu mangsa banjir di Taman Langat Utama, Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang dan Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong, Dengkil semalam.
Sukarelawan JIM terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi dan warga JIM telah terlibat dalam mencuci dan membersihkan rumah mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.
Misi Bantuan Banjir JIM ini diketuai oleh Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban.
Mereka turut menghulurkan bantuan dapur gas masak mudah alih, bakul makanan dan keperluan asas.
“Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang wajar dilakukan dalam waktu genting sebegini.
“JIM amat prihatin dengan keadaan mangsa banjir yang terpaksa menghadapi dugaan ini tatkala negara masih lagi dibelenggu pandemik COVID-19.
“Usaha yang dilakukan hari ini diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan dan meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dalam menjalani pemulihan kehidupan harian pascabanjir,” kata JIM di Facebooknya.