KKM kesan 442 lagi kes positif COVID-19 mangsa banjir
30 DIS : Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan sebanyak 442 kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir setakat pukul 3 petang hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Dalam masa sama, sebanyak 71 kes penyakit berjangkit dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir hari ini. Ia melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (semasa 26 kes/kumulatif 1,182 kes), penyakit kulit (semasa 30 kes/kumulatif 522 kes), acute gastroenteritis (semasa 13 kes/kumulatif 238 kes) dan penyakit tangan, kaki dan mulut (semasa dua kes/kumulatif enam kes),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 61 PPS masih beroperasi iaitu Kelantan (10), Pahang (43), Selangor (tujuh) dan Negeri Sembilan (satu) manakala, jumlah mangsa terjejas banjir seramai 6,348 orang.