30 DIS: Lebih 400 orang sukarelawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turun padang bagi meneruskan misi gotong-royong dan membaiki peralatan elektrik pascabanjir di kampung-kampung sekitar Bukit Changgang, Hulu Langat.
Pada masa sama, KPLB menjadikan empat buah kampung termasuk kampung Orang Asli (KOA) sebagai kampung angkat KPLB.
Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Bukit Changgang, Kampung Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Berkelompok Bukit Changgang dan Kampung Orang Asli Paya Rumput.
KPLB dalam kenyataan hari ini berkata, KPLB turut menggerakkan pelajar-pelajar dalam bidang kejuruteraan elektrik di bawah institusi agensi iaitu KEDA dan MARA untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian dan pembaikan barangan elektrik.
“Misi yang dilaksanakan oleh KPLB ini adalah selaras dengan saranan Ketua Setiusaha Negara dalam menggerakkan agensi kerajaan serta menjadikan kawasan yang terjejas banjir sebagai kawasan angkat dalam memastikan pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan segera.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan selama seminggu di kawasan Bukit Changgang dalam memastikan kehidupan masyarakat yang terlibat dapat dipulihkan seterusnya diteruskan seperti biasa,” katanya.
Turut hadir mengetuai misi KPLB adalah Ketua Setiausaha, Dato’ Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf serta pegawai dan kakitangan KPLB dan Agensi.