30 DIS : Muzakarah Majlis Syura Ulama PAS pada Rabu lalu membuat keputusan untuk terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan dalam masa yang sama turut mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata, keputusan itu dibuat adalah selari dengan usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
“Muzakarah Majlis Syura Ulama bertajuk `Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihanraya PAS PRU ke-15′ bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
“Perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu dilaksanakan secara maksimum bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
“Ini selaras dengan panduan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Anfal, ayat 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Hashim lagi, semangat taawun siyaasi (kerjasama politik) dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.
“Justeru, semua pihak hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” ujarnya.