30 DIS : Pekan Sungai Lembing, Pahang hari ini ditenggelami air ekoran hujan lebat yang berterusan sejak semalam namun paras air di pekan tersebut tidaklah setinggi ketika banjir di pekan berkenaan, baru-baru ini.
Setakat ini, kenderaan masih lagi boleh melalui jalan di pekan tersebut dan penduduk Sungai Lembing mengharapkan gelombang kedua banjir tidak berlaku.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu hantaran di Facebook hari ini menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera, jika kawasan dinaiki air.
“Cuaca gelap dan hujan turun sejak pagi tadi. Saya meninjau keadaan beberapa tempat yang berisiko banjir di Kuantan. Kita mungkin akan menghadapi gelombang banjir yang kedua pada kali ini.
“Timbul kerisauan di hati saya kerana kita baru saja melalui keadaan ini tempoh hari. Namun, apa yang berlaku semua ketentuan daripadaNya,” ujarnya.