30 DIS: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi membantu petani dan penternak yang terjejas akibat bencana banjir.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kerajaan turut memperuntukkan dana RM80 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bertujuan membantu meringankan bebanan mereka.
“Kerajaan menyediakan bantuan yang sewajarnya, termasuk kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara serta ahli peladang akibat daripada bencana alam seperti banjir yang melanda baru-baru ini.
“Di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) peruntukan sebanyak RM12 juta diperuntukkan untuk membantu petani yang mengalami kerosakan akibat bencana alam,” katanya lapor Berita Harian.
Ahmad berkata, RM10 juta daripadanya disumbangkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) juga menyumbangkan dana sebanyak RM2 juta.
“Di Pahang, berdasarkan maklumat awal, sehingga kini jumlah penternak yang terjejas akibat banjir adalah seramai 55 orang.
“Antara PPK yang terjejas di Pahang ialah PPK Temerloh, PPK Bentong, PPK Kuala Lipis, PPK Tembeling, PPK Bera, PPK Maran, PPK Chenor, PPK Pekan, PPK Pulau Tawar, PPK Jerantut, dan PPK Rompin,” katanya.
Beliau memberitahu, MAFI juga sedang menyegerakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian golongan sasar bagi menyediakan bantuan sewajarnya.