31 DIS: Kerajaan menghulurkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencecah RM61,000 bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total dan RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha kerajaan itu bagi mengurangkan bebanan rakyat tanpa mereka perlu mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5% sekali gus boleh merancang masa depan selepas bersara,” katanya menerusi perutusan sempena Tahun Baharu 2022 yang disiarkan secara langsung, malam ini.
Menurutnya, bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total pula, jumlah bantuan adalah jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.
Jelasnya, antara bantuan yang telah diumumkan termasuklah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang telah mula diberikan sejak 27 Disember lalu yang memanfaatkan 45,000 penerima.
Selain itu, katanya baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir yang akan dilaksanakan bermula 7 Januari ini.
“Saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik PERODUA dan PROTON yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50% ke atas alat ganti.
“Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25% ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.
“Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, Kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain. Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022,” katanya.
Ismail Sabri menambah, Kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.
Pemberian itu, jelasnya adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir dan beliau berharap kesemua pemberian tersebut sedikit sebanyak dapat memberi sinar baharu kepada Keluarga Malaysia.