31 DIS: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu bekerjasama mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, ia membolehkan rundingan kerusi bersama UMNO dicapai bagi mengelak pertembungan kerusi dalam PRU-15.
“Saya difahamkan walaupun bukan semua tetapi majoriti Ahli Majlis Tertinggi UMNO mahu bersatu dan bekerjasama.
“Orang UMNO kena ikut pemimpin bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ini akar umbi. Itu lain cerita. Kita tak boleh pakai demokrasi Barat. Kena ikut kepimpinan,” lapor Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, katanya beliau menyokong kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menegaskan supaya rundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimum mungkin bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU-15.
“Memang kita tidak mahu tiga penjuru. Kita mahu Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem dan yang menjunjung perlembagaan untuk bersama dalam Perikatan Nasional (PN) ketika pilihan raya. Kita turut mengajak UMNO,” katanya.
Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dalam kenyataan menegaskan akan terus memperkasa MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat agama serta negara.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Muzakarah Majlis Syura Ulama yang bersidang hari ini.